Model Sistem Dinamik untuk Meramalkan Bilangan Pesakit dan Keperluan Sumber Tenaga di Zon Kuning Jabatan Kecemasan

2019 
Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (JKHUSM) telah menunjukkan perubahan yang pesat dan menghadapi transformasi drastik berhubung dengan kepentingan dalam sistem penjagaan kesihatan. Peramalan dan perancangan sumber yang munasabah perlu dilakukan bagi memenuhi permintaan pesakit yang kian bertambah. Justeru, kajian ini memfokuskan kepada Zon Kuning di JKHUSM yang memerlukan perancangan sewajarnya atas keperluan sumber yang sepatutnya disediakan pada masa kini dan akan datang untuk membantu pihak pengurusan dalam perancangan strategik jabatan serta menambah baik aliran pesakit dan perkhidmatan di zon tersebut. Pemodelan Sistem Dinamik telah dibangunkan untuk meramalkan bilangan pesakit yang akan berkunjung serta jumlah sumber yang diperlukan untuk memenuhi permintaan perkhidmatan di Zon Kuning JKHUSM pada masa sekarang (2014) dan masa hadapan bagi tempoh lima (2019) dan sepuluh tahun akan datang (2024). Hasil kajian meramalkan sumber yang diperlukan bagi memenuhi permintaan pesakit yang berkunjung di Zon Kuning pada masa sekarang adalah seramai 11 orang doktor, 12 orang jururawat dan 18 buah katil berbanding dengan sembilan orang doktor, sembilan orang jururawat dan 16 buah katil sedia ada. Seterusnya penambahan dua buah katil diramalkan untuk memenuhi keperluan pesakit bagi tempoh lima dan sepuluh tahun akan datang. Manakala tiada penambahan doktor dan jururawat diperlukan bagi memenuhi permintaan pesakit bagi tempoh lima tahun akan datang. Namun begitu dijangkakan penambahan seorang doktor dan seorang jururawat diperlukan bagi memenuhi permintaan 10 tahun akan datang. Oleh itu, peramalan penambahan sumber ini adalah sangat penting untuk menambah baik aliran pesakit di Zon Kuning JKHUSM serta membantu dalam mencapai Penunjuk Prestasi Utama jabatan ini. Hasil kajian yang diperoleh akan membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang wajar dengan belanjawan yang telah ditetapkan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di samping meningkatkan tahap prestasi Zon Kuning JKHUSM.
    • Correction
    • Source
    • Cite
    • Save
    • Machine Reading By IdeaReader
    0
    References
    1
    Citations
    NaN
    KQI
    []