Pandangan Kanak-Kanak Dalam Kes Hadhanah Di Mahkamah Syariah Di Negeri Selangor: Children Views In Hadhanah Cases In Syariah Courts In The State Of Selangor

2021 
Menurut Perkara 12 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak (United Nation Convention on the Rights of the Child) (UNCRC) 1989, kanak-kanak berhak bersuara dalam semua hak melibatkan mereka. Ini termasuklah hal ehwal perundangan dan urusan mahkamah. Dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, contohnya Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, kanak-kanak yang telah mencapai tahap mumayyiz (kecerdikan) dianggap mempunyai hak menyatakan pandangan mereka di mana hakim Syarie boleh bertanyakan pendapat mereka dengan siapa mereka ingin tinggal dengan mengambil kira kebajikan anak tersebut. Bagaimanapun, undang-undang tersebut adalah umum dan tidak menyatakan bagaimana pendapat anak diperolehi, apakah bentuk soalan yang wajar ditanya, perlukan kanak-kanak ditemani oleh kaunselor kanak-kanak dalam prosiding mahkamah dan apakah aspek kestabilan emosi kanak-kanak perlu dipertimbangkan? Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji amalan bagaimana prinsip suara kanak-kanak dilaksanakan di Mahkamah Syariah dalam kes  pertikaian penjagaan anak. Kajian dilakukan terhadap data primer sebanyak 40 fail mahkamah yang diputuskan di antara tahun 2014 sehingga 2020 di Mahkamah Syariah di negeri Selangor. Fail-fail mahkamah telah  dianalisis secara deskriptif menggunakan kaedah analisis kandungan dengan olahan induktif, deduktif dan komparatif. Terdapat pendekatan yang berbeza iaitu ada hakim memanggil kanak-kanak dan meraikan pandangan mereka dan  ada hakim yang memanggil namun tidak meraikan pandangan tersebut. Ada juga hakim yang tidak memanggil langsung anak untuk memberikan pandangan mereka. Kajian ini juga mendapati bahawa peruntukan umum ini tidak membantu para hakim di mana para hakim secara umum tidak menyentuh tentang kestabilan emosi kanak-kanak semasa soalan ditanya dan tiada kes menunjukkan kaunselor kanak-kanak terlibat. Kajian ini mencadangkan agar pendedahan lebih meluas diberikan kepada para hakim Syarie yang mengendalikan kes melibatkan kanak-kanak berkenaan UNCRC melibatkan hak bersuara serta panduan bagi memastikan kebajikan emosi serta kaedah bertanya yang bersesuaian disediakan untuk membantu mahkamah supaya penghakiman yang dilakukan adalah lebih selari dengan kehendak konvensyen tersebut.
    • Correction
    • Source
    • Cite
    • Save
    • Machine Reading By IdeaReader
    6
    References
    0
    Citations
    NaN
    KQI
    []