Kepatuhan Pengiraan Zakat Pendapatan Kumpulan Profesional di Universiti Pendidikan Sultan Idris

2016 
Sumber pendapatan seseorang individu daripada penggajian semasa adalah pelbagai dan berbeza mengikut sektor pekerjaan  dan jawatan. Selain pendapatan dikenali gaji pokok, seseorang pekerja turut menikmati pendapatan berbentuk elaun, bonus, insentif dan sebagainya sama ada secara bulanan atau tahunan. Bagi kumpulan profesional pula, pendapatan sampingan turut diperoleh menerusi  aktiviti perundingan atau kepakaran, penyeliaan, penyelidikan dan sebagainya. Memandangkan sumber pendapatan ini semakin meluas, kepatuhan dalam menghitung jumlah pendapatan yang perlu ditunaikan zakat adalah signifikan. Sehubungan itu, setiap individu Muslim berkelayakan perlu menunaikan zakat pendapatan bagi memastikan harta yang dicari dan diperoleh adalah bersih daripada hak orang lain di dalamnya. Justeru itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap kepatuhan zakat pendapatan yang dilihat dari aspek pengiraan jumlah pendapatan daripada setiap sumber penggajian yang diperoleh. Kajian ini menggunakan analisis deskriptif daripada 10 sumber pendapatan diperoleh oleh kakitangan akademik melibatkan 112 orang kakitangan akademik Muslim yang berkhidmat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak sebagai responden kajian. Hasil analisis menunjukkan tahap pengetahuan mengenai sumber penggajian yang perlu dihitung dalam pengiraan zakat adalah tinggi bagi gaji pokok dan elaun tetap bulanan dan tahap sederhana dan rendah bagi sumber-sumber lain. Tahap pengetahuan ini didapati merupakan punca kepada ketidakupayaan responden untuk menghitung pendapatan sebenar dalam pengiraan zakat pendapatan.  Implikasi kajian ini menunjukkan keperluan kepada pihak berautoriti untuk memberikan lebih penerangan berkaitan zakat pendapatan bagi memastikan pemilikan harta individu lebih bersih serta meningkatkan keadilan dalam agihan kekayaan.
    • Correction
    • Source
    • Cite
    • Save
    • Machine Reading By IdeaReader
    14
    References
    2
    Citations
    NaN
    KQI
    []