Pembinaan kemahiran insaniah guru Pendidikan Islam di sekolah melalui amalan penggunaan bahan bantu mengajar

2016 
Kemahiran insaniah yang lahir dalam setiap diri seorang guru adalah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Kemahiran ini sangat penting untuk diterapkan dan diberi penekanan kepada semua guru di sekolah. Kebanyakan kajian menjelaskan bahawa aspek utama dalam menerapkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah adalah menerusi aktiviti kokurikulum. Namun kebanyakan guru tidak menyedari bahawa aktiviti kurikulum juga mampu melahirkan kemahiran insaniah dalam diri mereka. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenalpasti jenis kemahiran insaniah yang terhasil melalui penggunaan sumber pengetahuan yang disediakan oleh sekolah dalam amalan penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) Guru Pendidikan Islam (GPI). Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan menggunakan instrumen temu bual sebagai data utama serta pemerhatian, analisis dokumen, dan nota lapangan sebagai data sokongan. Dapatan yang diperolehi menggunakan instrumen tersebut dianalisis secara “open coding” menggunakan perisian Nvivo 7.0. Hasil kajian menjelaskan bahawa dalam amalan penggunaan BBM GPI, terdapat dua kemahiran insaniah yang utama dan empat kemahiran insaniah sokongan. Kemahiran insaniah yang utama ialah etika dan moral profesional serta pengurusan maklumat. Manakala kemahiran insaniah sokongan ialah kerja berpasukan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan pembelajaran berkesan. Kemahiran ini terbina melalui amalan GPI dalam usaha meningkatkan pengetahuan semasa penggunaan BBM menggunakan tiga sumber yang disediakan oleh pihak sekolah. Tiga jenis sumber yang disediakan oleh pihak sekolah ialah kursus, internet, dan buku. Hasil kajian ini membentuk satu model kemahiran insaniah yang terbina melalui usaha guru dalam meningkatkan pengetahuan ketika menggunakan BBM. Hasil kajian ini dapat dijadikan rujukan oleh pentadbir-pentadbir di institusi pendidikan dalam usaha menerapkan kemahiran insaniah terhadap pekerja mereka.
    • Correction
    • Source
    • Cite
    • Save
    • Machine Reading By IdeaReader
    0
    References
    0
    Citations
    NaN
    KQI
    []