Perkahwinan Jarak Jauh Dalam Kalangan Masyarakat Islam Di Malaysia Menurut Perspektif Fiqh Dan Undang- Undang Keluarga Islam

2021 
Perkahwinan jarak jauh (PJJ) bermaksud satu corak hubungan yang bercirikan pertemuan yang jarang dilakukan antara suami dan isteri dan kebiasaannya pasangan itu tinggal di lokasi geografi yang berbeza dengan tempoh berjauhan antara satu sama lain. Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat merekodkan peningkatan struktur keluarga dalam perkahwinan jarak jauh yang semakin mendominasi model kekeluargaan konvensional, malahan kini hubungan jarak jauh merupakan suatu bentuk ikatan perhubungan yang semakin biasa dalam masyarakat. Amalan ini menjadi satu fenomena yang perlu diberi perhatian kerana kajian menunjukkan PJJ menyumbang kepada jumlah kes perceraian di Malaysia. Justeru objektif utama artikel ini adalah untuk melihat pandangan Islam mengenai amalan PJJ menurut ulama silam dan kontemporari dari sudut tempoh yang dibenarkan berjauhan dan sebab-sebab yang dibolehkan untuk berjauhan. Kajian juga akan menganalisa peruntukan undang-undang berkaitan PJJ yang terdapat dalam Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Metod yang digunakan ialah secara kualitatif melibatkan kajian perpustakaan. Data yang diperoleh dianalisis secara analisis kandungan serta induktif dan deduktif. Dapatan kajian menunjukkan terdapat pandangan ulama silam dan kontemporari berkaitan PJJ yang sangat signifikan untuk dijadikan panduan. Menariknya, terdapat juga peruntukan undang-undang kekeluargaan Islam yang sedia ada untuk mengawal amalan PJJ khususnya dikalangan masyarakat Islam seperti dalam Akta 303 iaitu Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Bahagian V - Pembubaran Perkahwinan, Seksyen 52 iaitu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh, Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 serta lafaz taklik yang dibaca oleh suami selepas akad nikah bagi setiap negeri di Malaysia. Kajian mencadangkan beberapa prinsip yang perlu dijaga oleh suami dan isteri dalam menjalani PJJ bertujuan untuk mewujudkan PJJ yang sejahtera dan harmoni.
    • Correction
    • Source
    • Cite
    • Save
    • Machine Reading By IdeaReader
    4
    References
    0
    Citations
    NaN
    KQI
    []