Pemahaman amalan bertingkah laku moral dalam kalangan murid melayu tingkatan empat di Putrajaya, Malaysia
2015
Kajian ini bertujuan untuk meneroka dan memahami amalan bertingkah laku moral murid Melayu Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Putrajaya menerusi tiga persoalan
kajian, iaitu: Apakah pemahaman murid Melayu tentang amalan bertingkah laku moral dalam kehidupan seharian mereka?; Bagaimanakah murid Melayu membentuk amalan
bertingkah laku moral dalam kehidupan seharian?; dan Mengapakah murid Melayu mengamalkan amalan bertingkah laku moral dalam kehidupan seharian?. Penyelidikan
ini menggunakan dua teori asas, iaitu, teori falsafah moral (al-Ghazali, 1898; Bentham,1907; Nietzsche, 1889; Kant, 1979; Sartre, 1943) dan teori perkembangan moral dan pendidikan moral (Kohlberg, 1976; Sugarman, 197; Durkheim, 1961; Bandura, 1977). Kajian ini mengaplikasikan reka bentuk penyelidikan kajian kes kualitatif iaitu satu kes satu tempat dengan melibatkan lapan orang murid Melayu Tingkatan Empat sebagai
peserta kajian. Teknik persampelan bertujuan digunakan berserta beberapa kriteria tertentu dalam pemilihan sampel kajian ini. Teknik pengumpulan data dalam kajian ini merangkumi temu bual semi berstruktur secara mendalam, pemerhatian tanpa turut serta dan analisis dokumen. Pengkaji menggunakan perisian ATLAS.ti 7 untuk
menguruskan data serta memudahkan pengkaji menganalisis data secara manual. Kesahan dan kebolehpercayaan juga diaplikasikan dalam penyelidikan ini. Kajian ini
menunjukkan bahawa pemahaman amalan bertingkah laku moral dalam kalangan murid Melayu ini sebagai pengamalan nilai murni yang berkonsep, berprinsip dan bersituasi dengan pengamalan nilai peribadi dan nilai dalam institusi berkaitan kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Dapatan kajian ini juga memberikan gambaran bahawa murid Melayu membentuk amalan bertingkah laku moral dalam
kehidupan mereka dengan kehadiran dua tema utama iaitu pemudahcara dan bentuk interaksi. Bagi tema pemudahcara, terdapat empat pemudahcara yang berfungsi iaitu diri, agama, persekitaran sosial berbentuk kemanusiaan dan persekitaran berbentuk bukan kemanusiaan. Manakala, tema bentuk interaksi terdiri daripada sub tema komunikasi moral, naratif moral, role model, peneguhan, penerapan dan refleksi dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, kajian ini menunjukkan bahawa wujudnya pelbagai motif yang terdiri daripada psikologi, agama, instrumental, intrinsik,hubungan sosial dan memenuhi ideal dalam kalangan murid Melayu yang menyebabkan mereka mengamalkan amalan bertingkah laku moral dalam kehidupan seharian. Secara keseluruhannya, murid Melayu yang mempraktikkan amalan bertingkah laku moral dalam kehidupan seharian ini mempunyai standard pemahaman yang tertentu, pelbagai, bersyarat, kompleks dan unik yang perlu diberi perhatiaan. Oleh yang demikian, usaha memperkasakan amalan bertingkah laku moral dalam kalangan murid Melayu boleh dimantapkan dengan memberi penekanan terhadap
pemahaman, pembentukan dan motif bertingkah laku moral dalam pendidikan secara formal dan tidak formal dalam kehidupan seharian mereka.
Keywords:
- Correction
- Source
- Cite
- Save
- Machine Reading By IdeaReader
0
References
1
Citations
NaN
KQI