Modaliti dalam wacana perbahasan parlimen
2020
Perbahasan Parlimen merupakan salah satu kegiatan interaksi bahasa yang melibatkan
perbincangan antara pemeran utama yang secara tidak langsung dapat menyerlahkan hubungan
sosial melalui unsur bahasa yang dimanfaatkan. Juseru, analisis unsur modaliti dalam klausa
ujaran merupakan salah satu penelitian awal yang boleh menonjolkan hubungan sosial pemeran
dengan khalayak pewacananya. Makalah ini bertujuan mengenal pasti dan menghuraikan aspek
makna modaliti yang digunakan oleh pewacana Kerajaan dan Pembangkang dalam wacana
perbahasan Parlimen sebagai satu cara membina hubungan sosial dengan khalayak wacananya.
Wacana perbahasan parlimen yang dipilih ialah perbahasan Belanjawan 2019, iaitu perbahasan
belanjawan pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) dan selepas berlakunya
peralihan kuasa dalam era Malaysia Baharu. Kaedah kualitatif digunakan untuk menganalisis
unsur modaliti dalam ujaran pewacana dengan bersandarkan pendekatan analisis wacana kritis
Fairclough (1992 & 1995). Hasil penelitian, ditemui 13 kata modaliti digunakan oleh kedua-dua pewacana Kerajaan dan Pembangkang dalam data kajian. Dapatan menunjukkan modaliti
informatif dan modaliti perintah dimanfaatkan oleh kedua-dua pewacana. Pemanfaatan
modaliti informatif lebih tinggi kekerapannya, iaitu 777 kali berbanding modaliti perintah
hanya 282 kali. Pewacana Pembangkang dilihat mendominasi penggunaan modaliti informatif
sebanyak 419 kali dan banyak dimanfaatkan dalam modaliti berciri kehendak, keupayaan,
pengetahuan, dan keengganan. Pewacana Kerajaan pula mendominasi penggunaan modaliti
perintah bagi maksud permintaan sejumlah 147 kali dan banyak dimanfaatkan dalam kata
modaliti harus, perlu, dan kena. Jelaslah, pemanfaatan kata modaliti oleh pewacana
Pembangkang adalah lebih bersifat memaklumi khalayaknya, manakala pewacana Kerajaan
lebih bersifat memerintah khalayaknya. Maka, dapatlah digambarkan bahawa bentuk
hubungan sosial yang terbina antara pewacana Pembangkang dan khalayaknya adalah lebih
relaks atau santai, dan bagi pewacana Kerajaan pula adalah lebih formal dan serius dengan
khalayaknya.
- Correction
- Source
- Cite
- Save
- Machine Reading By IdeaReader
0
References
0
Citations
NaN
KQI